Wednesday, September 9, 2009

Asal istilah Neraka Wail

Ketika saya dalam alam kanak-kanak dulu, saya biasa dengar ustaz, emak dan nenek saya menyebtu mengenai neraka wail. Saya juga sering dengar beberapa orang ayah menakut-nakutkan anaknya supaya tidak main-main ketika menunaikan sholat. Mereka kata, "Masuk neraka wail kalau sholat main-main, sholat tak betul."


Dari manakah wujud istilah neraka wail ini?


Ia ialah istilah yang biasa kita dengar dari mulut ustaz-ustaz dan dari buku atau kitab ugama. Bagaimana istilah wail ini muncul? Sama-samalah kita baca dan fahamkan, mudah-mudahan ia menyumbang manfaat kepada kita semua.


Terjemahan surah al-Ma'un: 4,5 (mafhum): "Maka kecelakaanlah orang-orang yang mengerjakan sholat, yang lalai dari shoolat mereka."


Ayat dalam bahasa Arab berbunyi (sila semak teks asal arab untuk sebutan yang tepat): 'Fawailullillmusholleen'. Oleh sebab wailun ditafsir sebagai neraka wail, maka terjemahan ayat berbunyi seperti ini, “Maka (ke) neraka wail orang-orang yang mengerjakan sholat, yang lalai dari sholat mereka.”

Maka wujudlah sebuah lagi neraka yang dinamakan neraka wail di samping nama-nama yang telah ditetapkan Allah.


Salah satu punca mengapa pentafsiran Quran menjadi bercelaru atau tergelincir seperti yang dikatakan oleh Dr Yusuf Qardhawi, dalam kitabnya Kaifa Nata’amalu Ma’a Al-Quran Al-Azhim, apabila ulama (orang awam macam kita tidak layak untuk melakukannya):


  • Mengikuti mutasyabihat (samar-samar maksudnya) dan meninggalkan yang muhkamat
  • Takwil yang buruk
  • Meletakkan nash tidak pada tempatnya
  • Dakwaan nasakh tanpa bukti
  • Ketidaktahuan terhadap Sunnah dan Atsar
  • Mempercayai Cerita-cerita Israeliyat dengan bulat-bulat
  • Menghindari konsensus umat
  • Kelemahan kerangka ilmiah

Seperti dikatakan dalam Quran sendiri dipelbagai tempat, tugas rasul ialah menerangkan Quran. Surah an-Nahl: 44 (mafhumnya), “….Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran agar kamu mererangkan kepada umat manusia apa yang diturunkan kepada mereka.”


Penerangan yang Nabi SAW lakukan terhadap istilah-istilah mahu pun ayat Quran dilakukan dalam bentuk ucapan-ucapannya yang kita kenali sebagai sebahagian dari Sunnah.


Terdapat istilah atau ayat Quran yang Nabi SAW jelaskan atau yang dijelaskan oleh Ibnu Abbas ra. Walau bagaimana pun terdapat juga istilah dan ayat Quran yang didiamkan oleh baginda dan Ibnu Abbas ra (kecenderungan Ibnu Abbas ra sejak kecil untuk memmahami Quran menyebabkan Nabi SAW berdoa kepada Allah agar mengabulkan doanya supaya Ibnu Abbas ra memahami Quran dengan sebaik-baiknya, sebab itu kebanyakan tafsir Quran utama yang ditulis ulama-ulama dulu menyebut pelbagai ulasan oleh Ibnu Abbas ra).


Yang jadi masalah seperti dikatakan Dr Yussuf Qardhawi ialah bukan semua hadits yang digunakan untuk mentafsir Quran boleh digunakan kerana terdapat hadits-hadits lemah dan palsu.


Beliau membawakan contoh-contoh hadits yang ‘menyokong’ kewujudan neraka wail. Semuanya diriwayatkan oleh muhadits terkenal seperti berikut.


Al-hafidz al-Munziri menyebutkan dalam kitabnya at-Tarhib wat-Targhib, antaranya dari Abi Sa’id ra, dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Wail adalah sebuah tempat di neraka Jahanam yang padanya orang kafir dijatuhkan selama empat puluh tahun sebelum ia menyentuh dasarnya.”


Diriwayatkan oleh Ahmad dan Tirmidzi, namun dalam riwayat itu baginda bersabda,

“Sebuah lembah di antara dua gunung yang padanya orang kafir dijatuhkan selama tujuh puluh tahun sebelum ia menyentuh dasarnya.”


Diriwayatkan oleh Ibnui Hibban dalam kitab Shahih-nya seperti riwayat Tirmidzi di atas, dan al-Hakim berkata, “Sahih sanadnya”.


Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari jalan al-Hakim, namun dalam riwayat itu baginda bersabda,

“Padanya orang kafir dijatuhkan selama empat puluh tahun sebelum penghitungan amal manusia selesai.”


Kecacatan hadits-hadits tersebut terletak pada sanadnya.


Al-Hafidz (adz-Dzahabi) berkata, “Mereka semua meriwayatkan dari jalan Amru bin al-Harits dari Darraj dari Abi al-Haitsam, kecuali Tirmidzi yang meriwayatkan dari jalan Ibnu Lahi’ah dari Darraj (juga), dan ia (Tirmidzi) berkata, “Hadits gharib (menyendiri), kami hanya mengetahuinya dari hadits Ibnu Lahi’ah dari Darraj.’”


Hadits-hadits tersebut diriwayatkan oleh Ahmad (3/75), Tirmidzi dalam at-Tafsir (3164), ath-thabari (1387), Ibnu Hibban (7467), al-Hakim (2/507) dan (4/596), al-Baihaqi dalam al-ba’ts (465). Keanehan berlaku menurut Dr Qardhawi iaitu al-Hakim mensahihkan hadits ini dan adz-Dzahabi menyetujuinya sedangkan di tempat lain ia berkata, “Darraj adalah perawi lemah.” (Pada saya, perkara demikian biasa berlaku kerana ulama yang cerdas pun mereka tetap manusia biasa, tidak lepas dari kesalahan). Demikian dinilai lemah dalam al-Mizan-at-tarjamah (2667). Ibnu Katsir berkata dalam tafsirnya (1/121), “Hadits dengan sanad marfu’ (sampai kepada Nabi SAW iaitu Nabi yang mengucapkannya) ini munkar (makna hadits berlawanan dengan yang terdapat dalam hadits-hadits sahih dalam kategori yang serupa) .” Di tempat lain, Dr Yusuf Qardhawi menyebut bahawa Darraj ialah tukang cerita yang terkenal, dan ia dha’if menurut ulama hadits.

Kepada yang biasa baca buku atau kitab, mungkin anda pernah membaca mengenai neraka Wail ini. Punca ia didapati dalam buku tersebut dan disebut-sebut oleh Imam/ulama/ustaz ialah kerana turut mentafsir sepertimana yang mereka dengar (tanpa serta ketidahtahuan mengenai ketidaksahihan hadits-hadits yang berkaitan.


Moga kita semua diberi rahmat oleh Allah di bulan Ramadhan ini agar dapat memanafaatkan ilmu yang tidak seberapa dari saya yang serba serbi kurang tahu ini. Setelah mengetahui secara ilmiah bahawa istilah dan sifat-sifat neraka wail tidak wujud, maka wajib bagi kita untuk tidak mengamalkannya.


Itqan Abdullah

ITQAN

www.rabbaniyah.blogspot.com

Friday, May 29, 2009

Kekeliruan - Kursi dan Telapak Kaki

PERHATIAN: tulisan berikut ialah sebuah tulisan yang berat. Mungkin ia tidak sesuai dibaca oleh kebanyakan orang. Anda perlu memiliki asas pendidikan aqidah (kaedah salaf) sebagai asas bagi memahaminya. Untuk itu saya pohon maaf. Walau bagaimana pun ia boleh dibaca kepada sesiapa yang ingin tahu perbezaan aqidah golonan salaf dan aqidah golongan muktazilah.

--------------------

Saya menulis coretan berikut setelah membaca artikel berjudul Terjemahan Al-Quran yang Bahaya dalam portal milik Sekretariat PKPIM Pusat.



Artikel tersebut menunjukkan aqidah yang dianuti oleh mereka yang mendahulukan akal melebihi naql dalam menyikapi sifat-sifat Allah. Mereka
memalingkan maksud ayat atau istilah2 dalam Quran dan hadits kepada
yang boleh diterima akal mereka. golongan ini dikenali oleh sesetengah ulama sebagai neo-muktazilah.

Ibnu Abbas yang diiktiraf Nabi SAW
sebagai pentafsir ayat2 Quran pun tidak mentafsirkan seperti yang
mereka tafsirkan. Sahabat-sahabat Nabi SAW menerima apa yang mereka
dengar

* seadanya
* tidak bertanya
* tidak mencari-cari dan menggunakan maksud lain.

Golongan muktazilah seperti yang digambarkan oleh Imam Abul Hasan Ismail Al-Asy'ari (asalnya beliau ialah seorang ulama ilmu kalam mazhab muktazilah) dalam kitabnya Maqalat Al-Islmamiyiin waikhtilaaf Al-Mushaliin melakukan yang sebaliknya dari yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi SAW.

Untuk pengetahuan Imam Abul Hasan dikatakan bertaubat dari menganuti
mazhab muktazilah dan berubah kepada as-Sunnah. Kitab Maqalat ditulis
setelah beliau bertaubat.

Berikut ialah artikel penuh milik PKPIM pusat menuduh terjemahan Quran Arab Saudi mengandungi unsur-unsur terjemahan mujassimah (golongan menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat2 makhluk).

Sekali imbas, saya dapati mereka menggunakan akal mereka untuk menerima atau menolak sesuatu istilah/ayat. Memang mereka guna maksud ayat 'Laisa kamislihi syai'un' yang bermaksud tidak serupa Dia dengan segala sesuatu. Tetapi apabila jumpa istilah2 tepalak kaki, wajah, tangan mereka palingkan kepada maksud yang boleh diterima akal mereka.

Alasan mereka ialah alasan yang digunakan oleh mana2 ulama (gaya muktazilah) seperti kita semua pelajari sejak sekolah rendah/menengah dulu. Allah tidak berjirim, berjisim. Timbul soalan. Adakah Allah beritahu kita sifat2 Dia tidak berjirim, tidak berjisim melalui kalam-Nya atau melalui lisan Nabi SAW? (maaf, setakat cakap2 ulama, tok guru tak boleh pakai dalam bab ini).

Kalau tak pernah disebut, siapa yang mulakan istilah-istilah tersebut? Jika Allah dan Rasul-Nya tidak pernah sebut, kenapa kita berani melangkau kalam Allah untuk menyebutnya dan menetapkan sifat Allah begitu dan begini? Adakah kita ini pencipta-Nya?

Bukankah maksud 'laisa kamislihi syai'un' itu ialah apa pun sifat2 Allah samada sifat zat mahu pun perbuatan memang tidak sama dan tidak akan pernah sama dengan sifat makluk. Noktah.

Jadi, sifat hidup Dia tidak sama dengan kita. Sifat tidak tidur Dia tidak sama dengan kita. Dia sentiasa dalam kesibukan (surah ar-Rahman: ) tidak sama dengan kita. Dia mengetahui yang ghaib tidak sama dengan kita. Dia adalah seperti sifat-sifat Rububiyah termasuk mencipta, memerintah dan lain2 tidak akan pernah sama dengan kita.

Sifat Maha Mendengar, Melihat, Berkata-kata tidak sama dengan kita. Sifat Dia indah tidak sama dengan kita atau sebarang makhluk. Sifat Maha Mengetahui tidak sama dengan kita.


Jadi, apa pun sifat Allah,samada sifat perbuatan atau sifat Zat tidak sama sama sekali dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh makhluk ciptaan-Nya. Kalau benar-benar kita menerapkan 'laisa kamislihi syai'un' kepada sebarang jenis sifat Allah, jadi kita menerima sifat-sifat yang ditetapkan oleh-Nya untuk diri-Nya seadanya. Inlah yang dimaksudkan mengterataskan naql melebihi aql. Kita tidak perlu timbang guna akal.


Jika guna akal itulah jadinya seperti terjadi kepada bukan sahaja orang-orang awam malahan ulama tebabit sama. Akhirnya seolah-olah kita yang menjadikan Allah. Kita berburuk sangka terhadap sifat-sifat yang dimiliki-Nya. Sahabat-sahabat Nabi SAW benar-benar 'sami'na wa athokna' tetapi kita jadi golongan pembantah?

Now. siapa yang susun sifat2 dua puluh?

Bukan Nabi SAW, bukan sahabat-sahabat. Ia dimulakan oleh Imam Abu Mansur Maturudi dengan tiga belas sifat dan diikuti oleh Imam Abul Hasan dengan menambah tujuh sifat terakhir (sebelum beliau bertaubat dari muktazilah). Adakah sifat2 ini tidak benar? Ya, ia benar tetapi ia hanya menunjukkan sebahagian kecil sifat-sifat Allah. ( Sifat2 7 yang terakhir ialah ulangan kepada 7 sifat yang pertama walau pun terdapat elemen-elemen penguatan.

Now, sebab sejak lahir dan di bangku sekolah setiap orang belajar perkara yang serupa, maka mereka anggap itulah yang paling benar. Jadi, sekadar mengetahui sifat 20 puluh belum lengkap. Kebanyakan sifat-sifat Zat Allah contohnya sifat-sifat dzatiyah Khabariyah (kita mengetahui hanya melalui kalam Allah SWT dan lisan Nabi SAW) wajah, tangan, dia tangan, kaki, telapak, kaki, jemari, hujung jari, mata, tersenyum, ketawa, kita tidak belajar di sekolah kerana kurikulum sudah begitu dan ustaz/ustazah (kebanyakan) yang mengajar pun tidak perasan sebenarnya mereka menggunakan metodologi ilmu kalam/muktazilah dalam pengajaran ilmu Tauhid/aqidah.

------------------

Penyumbang artikel ke portal tersebut menyebut ungkapan ini pada perenggan akhir, "kami beriman dengan maksud yang dikehendaki oleh Allah, bukan yang dikehendaki oleh kami." Pada pandangan saya, ungkapan tersebut makan diri mereka sendiri.

Bukti-bukti kukuh menunjukkan imam-imam empat mazhab (antara kurun 1 dan 2) yang hidup dalam lungkungan tiga kurun pertama (kurun yang paling baik disebutkan oleh Nabi SAW) memiliki aqidah yang serupa dengan Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, bukan bentuk muktazilah atau neo-muktazilah. Bukti2 tersebut bukan dalam skop coretan saya kali ini.

Hadits menunjukkan Kursi sebagai tempat letak kaki:

Hadits dari Ibnu Abbas ra, "Kursi adalah tempat dua telapak kaki (istilah asal: alqadamaini) , sedangkan 'Arsy tidak dapat diperkirakan kadarnya."

Hadits ini sahih mauquf (sanad bersambung sehingga sahabat). Ditiwayatkan oleh ibnu Huzaimah dalam at-Tauhid (hal: 71-72) dan ad-Darami dalam ar-Rasid alal Marisi (hal: 71, 73-74). Juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Arsy (114/2). Serta oleh Abdullah bin Ahmad dalam as-Sunnah (hal 71) dari Sufiyan, dari Amar Ad-Duhni, dari Muslim Al-Biththin, dari Said bin Jubair. Hadits ini sahih menurut al-Albani.

Menurut al-Albani, riwayat tersebut diikuti oleh Yusuf bin Abi Ishaq dari Amar ad-Duhni, dikeluarkan oleh Abu Syaikh dalam Al-Azhmah dengan penguat dari Abu Dzar (2/36) yang dimarfu'kan (sanad bersambung sehingga Nabi SAW).

Hadits kaki (Al-Rijl) dan telapak kaki (Al-Qadamain):

1. Hadits Abu Hurairah ra mengenai dalil wujudnya syurga dan neraka yang di dalamnya: ".......ada pun neraka; tidak akan penuh terisi hingga Allah SWT meletakkan kaki-Nya (istilah asal al-Rijl). Dan menurut lafaz Muslim: "telapak kaki-Nya" (alqadamaini), kemudian neraka berkata, "Cukup, cukup...." Diriwayatkan oleh Bukhari (4850) dan Muslim (2846).

2. Hadits yang serupa maksudnya seperti diriwayatkan oleh Bukhari (4848) dari Anas ra.

3. Atsar Ibnu Abbas ra (perkataan beliau sendiri); "Kursi ialah tempat kedua telapak kaki, dan 'Arsy tidak ada seorang pun yang mampu memlampaui ketentuannya". Diriwayatkan oleh ibnu Khuzaimah dalam kitab at-Tauhid
1/238 (154). Ibnu Abi Syaibah dalam kitab al-Arsy (61), Ad-Darimi dalam kitab ar-Raddu 'Ala Al-Murisi, Abdullah bin Ahmad dalam as-Sunnah, Al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/282). Sanadnya dibenarkan menurut piawaian Syaikhani (Bukhari Muslim), disetujui oleh adz-Dzahabi. Dibenarkan juga oleh al-Albani dalam kitab Mukhtasar al-Uluw (hal: 102) dan Ahmad Syakir dalam Umdah al-Tafsir (2/163).

Sifat-sifat Allah yang disebutkan sendiri oleh-Nya atau melalui lisan Nabi SAW semuanya adalah benar milik-Nya. Kita tiada hak untuk mentakwil (mengubah) maksud menurut kesesuaian akal kita.

Beberapa kaedah asas mengenai sifat2 Allah


1. "Menetapkan apa-apa yang ditetapkan oleh Allah bagi diri-Nya sendiri di dalam kitab-Nya, atau ditetapkan (diberitakan) oleh Rasulullah SAW bagi-Nya; tanpa penyelewengan dan tidak pula pengurangan, serta tidak menggambarkan bentuknya dan tidak pula mengumpamakannya." [Ash-Shabuni dalam aqidah Salaf Ashabulhadits dan Ibnu Taimiyah dalam Majmu 'al-Fatwa]

2. "Meniadakan apa2 yang ditiadakan Allah bagi diri-Nya sendiri dalam kitab-Nya, atau yang ditiadakan oleh Rasulullah SAW bagi-Nya, berdasarkan keyakinan akan kepastian kesempurnaan yang sebaliknya bagi Allah Ta'ata." [Ibnu Taimiyah dalam Al-Aqidah al-Tadmiriyah dan al-Jawab al-Sahih li Man Baddala Din al-Masih].

Alasannya kerana Allah lebih tahu mengenai ciptaan diri-Nya sendiri dan Nabi SAW ialah orang paling mengetahui mengenai Tuhan-Nya.

Aqidah imam asy-Syafie terhadap asma dan sifat-sifat Allah

Kita lihat perkataan Imam as-Syafie dalam kitabnya ar-Risalah, "Segala puji bagi Allah sebagaimana Dia mensifati diri-Nya dan atas apa yang disifatkan untuk-Nya oleh makhkuk-Nya."

Ibnu Taimyah berkata bahawa yang dimaksudkan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah ialah Allah bersifat seperti yang Dia sifatkan untuk diri-Nya di dalam kitab-Nya dan melalui lisan Rasul-Nya. [Majmu' al-Fatawa 5/256-257].

Abu Ya'la menyebutkan dalam Syi'ar A'lam an-Nubala (10/79-80) dari Yunus bin Abdul A'la al-Mishri, iaberkata: "Saya mendengar abu Abdillah (Imam asy-Syafie) mengatakan ketika ia ditanya mengenai sifat-sifat Allah dan apa yang wajib diimani. Ia berkata: 'Allah Tabaraka wa Ta'ala memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang diterangkan dalam kitab-Nya dan diberitakan oleh Nabi-Nya kepada umatnya, maka tiada alasan bagi siapa pun yang telah sampai penjelasan dan telah sampai di hadapannya hujah (dalil) untuk menolaknya.'"

Ibnu Katsir berkata dalam al-Bidayah wan Nihayah: 'Diriwayatkan dari ar-Rabi' (penuntut dan penulis kitab al-Umm, kitab induk fiqah mazhab Syafie. Beliau mendengar syarahan asy-Syafie dan kemudian menulis dijadikan kitab) dan juga tidak cuma seorang dari kalangan sahabat terkemuka, keterangan yang menunjukkan, bahawa beliau menyikapi ayat-ayat sifat dan hadits-hadits mengenainya sebagaimana datangnya tanpa melakukan takyif, tasybih, ta'thil dan tahrif sesuai dengan metod kalangan salaf.[al-Bidayah wan Nihayah 10/265]

Hati-hati sebelum mengecap orang atau golongan sebagai mujassimah. Belajarlah mengteratas/mendahulukan naql melebihi aql.

------------------

Artikel penuh dari portal PKPIM Pusat berjudul Terjemahan Al-Quran yang Bahaya



Itqan Abdullah

www.rabbaniyah.blogspot.com

Friday, March 6, 2009

Saya bukan Seorang Islam

Beliau berusia 60an, berbadan tegap sasa. Dan yang menarik beliau bernikah dengan seorang isteri baru, 2 tahun dulu, dengan seorang warga Indonesia yang kini berusia 28 tahun.

Duduk di hadapan beliau, tidak kering gusi saya dibuatnya kerana beliau pandai berjenaka. Selain itu beliau cukup pandai dan aktif mengusik. Mengusik anak-anak dara dan isteri orang.

Usik bukan setakat tegur sapa tapi dengan menggunakan tangan. Beliau memegang tangan-tangan wanita yang hampir dengannya sambil berkata,”Nasib baiklah aku baru kawin, kalau tidak aku hantar pinangan.” Matanya melirik atas bawah.

Kami duduk-duduk di tepi sebuah taman yang terdapat beberapa warung tempat orang singgah minum teh. Saya baru pertama kali bertemu dengan pakcik ini melalui seorang kawan. Cukuplah cerita sedikit sebanyak mengenai latar-belakang peribadinya. Saya akan tumpukan coretan ini seterusnya dengan celoteh beliau mengenai beberapa isu ugama.

Sebelum bertemu dengan beliau, abang saya telah memberitahu sedikit sebanyak mengenai fahaman ugama beliau dalam bidang fiqah. Menurut abang saya beliau mengamalkan ilmu hakikat. Saya bertanya samada kawan-kawannya mengikut aliran sufi (tasawuf) atau mengamalkan tarekat tertentu. Abang saya tidak tahu.

Pada suatu bahagian pertemuan kami, abang Haji yang duduk di hadapan saya membuka bunga diskusinya mengenai bab ugama. “Dalam banyak-banyak perkara, kita jangan terjebak dalam syirik, kafir, munafik, dan fasik. Semua terkeluar dari ugama.”

Ye, abang Haji? Satahu saya yang keluar dari ugama ialah syirik besar, kufur (yang bukan kufur nikmat), munafik hati. Fasik tidak mengeluarkan seseorang dari Islam, saya berkata dalam hati. Saya tidak mencelah kerana haji ini ialah jenis yang nampaknya suka domineer orang lain.

“Dosa paling besar dan Tuhan tidak ampunkan ialah syirik.”

Saya hanya memandang wajahnya dan sesekali mengerlih ke orang-orang yang lalu lalang. Cuaca agak redup tetapi terasa bahang. Saya meneguk air limau ais perlahan-lahan.

“Umur engkau berapa sekarang? 45? 46?”

“Lebih kurang macam tu lah, ji”

“Aku tanya engkau sekarang. Ugama engkau apa?”

MasyaAllaah. “Saya berugama Islam, ji”

“Mana engkau tahu engkau berugama Islam. Macam mana engkau tahu?”

Otak saya berjalan dengan sangat pantas mencari jawapan yang sesuai. “Saya mengucap dua kalimah syahadah......”

“Engkau belum Islam!”

Ilmu apa pulak ni. Mengucap dua kalimah syahadah dan membenarkan dengan hati sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu seorang Islam.

“Pernah tak seumur hidup engkau mengucap dua kalimah syahadat macam orang kafir masuk Islam?”

Saya senyum.

“Pada suatu ketika, seorang Imam yang sering nikahkan orang, memeluk aku setelah dia faham apa yang aku maksudkan. Kebanyakan orang Islam yang lahir diwariskan Islam tidak mengucap dua kalimah syahadat.”

Alhamdulillaah, ji. Engkau telah ‘menyedarkan’ ramai orang.

“Bang, dalam sholat, seseorang baca syahadatain ‘AsyhaduallaailaahaillAllaah. WaasyhaduannaMuhammadarrasulullaah.’’ Saya teringat terdapat beberapa ungkapan yang berbeza-beza syahadatain yang dibaca dalam tasyahud awal dan akhir. Saya sendiri biasa baca ‘…………..WaasyhaduannaMuhammadan ‘abduhuuwarasuuluh.’ Ia bergantung kepada hadits mana yang seseorang ikut. Cuma, pastikan hadits-hadits yang diikut itu soheh.

“Itu tidak sah!” Dia menyalakan rokoknya yang entah ke berapa batang. “Baca gitu tak sah dan sholat tidak sah.”

Kalau sholat tidak sah, syahadatain itu masih sah, ji. Saya pergi sekolah ugama ketika usia 7 tahun lagi. Dan di sana saya diajar rukun Islam. “Saya teringat ustaz kata, Nabi kata bahawa Islam itu ialah mengucap dua kalimah sayahadat dan diikuti oleh rukun-rukun lain…….”

“Tapi engkau tidak pernah mengucap macam orang kafir masuk Islam, kan?”

Astaghfirullaah. Saya pernah bersekolah ugama sejak kecil. Kami diajar rukun Islam dan diajar mengucap sebiji sebiji. Dari tulisan jawinya, makna-maknanya dan tujuan mengucapkannya. Dan sudah tentu kami membaca dan memhaminya makna-maknanya.

“Sebelum menikah, kedua-dua pengantin disuruh mengucap. Wali pun disuruh mengucap. Mana tau kalau ada wali yang fasik contohnya tidak sholat.”

“Itu tidak cukup.”

Dah tu apa yang cukup ji? Kalau benar apa yang aji katakan, kalau gitu semua pernikahan orang Islam batal kerana ada lagi yang tidak cukup. Yelah. Mengucap dua kalimah syahadah masih lagi bukan Islam. Kalau gitu ramailah pasangan pengantin Islam yang berzina dan mereka tidak tahu mereka melahirkan anak-anak zina. Dan dari dulu sampai bila-bila nanti, orang Islam sedunia ini ialah hasil anak-anak zina. Sebabnya mereka mengucap syahadatain sebelum bernikah tetapi aji kata tidak cukup!

“Inilah yang jadi masalah. Ramai yang ikut Nabi sebab tidak mahu pecah belah. Tapi yang ramai itulah tidak tahu hakikat. Mereka sibuk ikut syariat halal dan haram tetapi tidak tahu ilmu hakikat.”

Astaghfirullaah. Orang tua ini menyembah tok guru. Atau dia menyembah akal. Dia tidak sedar dan sukar untuk sedar bahawa dia mengatakan sesuatu bahawa terdapat syariat lain yang lebih baik dan betul dari yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Bukan sekali dua saya bejumpa dengan orang macam ni.

Sebenarnya dia yang perlukan bimbingan. Bimbingan yang paling utama ialah al-Quran yang meliputi semua qalam Allah yang turun dalam bentuk wahyu. Yang kedua ialah as-Sunnah Nabi SAW.

Suatu ketika dahulu saya pernah berjumpa dengan seorang ahli hakikat juga. Beliau memang tidak tinggal sholat. Tetapi dalam banyak-banyak perkara beliau tidak percaya Nabi SAW mikraj ke langit. Saya katakan perkara-perkara ghaib termasuk mengenai isra’ mikraj diberitakan melalui mulut Nabi SAW sendiri seperti dinyatakan pelbagai hadits soheh.

Dia tetap tidak percaya. Saya katakana padanya kalau gitu abang boleh meragui pelagai perkara ghaib lain termasuk Hari Kebangkitan, nikmat syurga dan siksa neraka kerana ia disebutkan dalam hadits-hadits soheh dengan cerita dan sifat yang berbeza dengan yang disebutkan dalam Quran. Dia terdiam. Saya tidak tahu samada beliau bersetuju atau tidak.

Ini adalah contoh apabila manusia memuja tok-tok guru atau menyembah akal mereka dalam menetapkan hokum dalam ugama. Yang kesiannya, apabila mereka ingin mendekatkan diri dengan Allah, mereka membaca buku-buku aliran sufi yang mana kebanyakan isinya mengenai aqidah adalah mengarut, yang tidak pernah diajarkan oleh Allah atau Nabi SAW kepada sahabat-sahabatnya.

Terdapat banyak hadits dalam buku sufi ialah hadits palsu. Antara puncanya ialah kebanyakan guru-guru sufi sejak zaman dahulu tidak mendalami ilmu hadits dan mereka mengambil bulat-bulat setiap patah perkataan termasuk isi-isi yang dikatakan sebagai hadits. Apabila ulama menegur bahawa hadits begian begian adalah hadits palsu mereka akan mempertahankannya dan berkata bahawa terdapat pelbagai hadits, berpuluh-puluh ribu. Awak hafal semua hadits termasuk yang disampaikan oleh ulama-ulama kami?

Akhir sekali saya teringat bahawa ramai orang Malaysia menganggap kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Ghazali sebagai sangat bernilai. Menganggap bernila tidak jadi masalah. Seseorang pernah memberitahu rakannya bahawa bukan semua hadits yang ditulis oleh Imam Ghazali boleh digunakan kerana terdapat yang dhoif dan palsu. Beliau selanjutnya memberitu kalau pernah baca atau simpan naskahdi rumah lebih elok beli naskah dengan hadits-hadits yang ditahqiq Imam Al-Iraqi.

Oleh sebab semua orang guna kitab yang serupa, beliau pun berang dan berkata kepada rakan yang menyampaikan mengenai perkara hadits soheh palsu tersebut, “Hadits Imam Ghazali Imam Ghazali lah. Hadits orang lain orang lainlah.”

Beliau tidak faham apa yang dimaksudkan hadits sebenarnya. Ramai orang sampai hari ini terkejut apabila diberitahu bahawa hadits-hadits dikategorikan dalam beberapa tingkatan.

Untuk diri saya, kalau saya berguru saya dengar dan tengok karakternya dari soal wara’ dan lain-lain. Selain itu saya pastikan beliau mengutamakan ilmu-ilmu Quran dan hadits melebihi dari ilmu-ilmu lain kerana dua ilmu tersebut ialah ilmu utama dalam mempelajari ushul fiqah dan seterusnya fiqah. Saya pastikan mereka tidak mengterataskan akal melebihi dari dua jenis ilmu tersebut.

Saya hanya seorang pelajar yang gemar belajar pelbagai bidang termasuk ilmu ugama walau pun tidak mendalam sebagaimana mereka yang belajar secara formal.


Itqan Abdullah

ITQAN

www.rabbaniyah.blogspot.com