Thursday, October 9, 2008

Kisah Wali dan Jiran-jirannya

Tersebutlah kisah sebuah keluarga yang tinggal di sebuah kawasan perumahan di sebuah bandar. Ia terdiri dari pasangan suami isteri pertengahan umur dan beberapa orang anak dewasa dan sudah bekerja.

Orang selalu kata seorang bomoh patah tulang yang tinggal di sebuah kampung biasanya hanya dikenali oleh orang-orang luar. Begitu jugalah dengan isteri Pak Lat (bukan nama sebenar). Beliau tidak mengaku bomoh tetapi dengarnya kebanyakan orang yang di’ubat’nya sembuh atau permintaan mereka ‘kesampaian’.

Rumahnya sering riuh-rendah samada kerana gurau senda, hilai ketawa mereka anak-beranak, atau kerana sibuk memasak di dapur. Sesekali datang tetamu dari dekat dan jauh dan biasa kedengaran sembang mereka hingga larut pagi.

Kak Mun (bukan nama sebenar) ini orang ‘sakti’. Beliau mengaku memiliki susur galur keturunan pelbagai jenis raja dan ulama. Sebut saja Puteri Saadong atau Che Siti Wan Kembang, Sultan itu dan ini, semua ada kait-mengait.

Kesian. Sampai satu hari beliau pergi melancong ke Bangkok, ketika lalu di sebelah istana besar tepi Chao Phraya beliau tiba-tiba menyebut bahawa raja-raja Siam purba ialah saudara beliau.

Ulama-ulama wali songo ialah saudara-saudara beliau. ‘Saudara-saudara’ beliau yang datang berkunjung semuanya dikatakan ada pertalian. Mereka bertemu setelah setiap kali beliau mendapat ‘arahan’ atau ‘ilamat’ (petanda atau isyarat). Contohnya ilamat menunjukkan ‘saudaranya’ tinggal di kampung sekian-sekian, perwatakan begitu begini. Apabila sampai di kampung yang dimaksudkan memang benar beliau bertemu dengan saudaranya.

Di rumah beliau penuh dengan ‘pusaka’ yang sangat ‘bernilai’ pada beliau. Keris-keris, cokmar di simpan dengan baik. Rajah-rajah (yang biasa ditemui di rumah-rumah Tok Pawang) mengandungi pelbagai jenis dan bentuk tulisan termasuk yang biasa kita temui seperti ‘Ya Haiyu di satu sudut rajah dan Ya Qaiyum di sudut lain.

Beliau belajar ugama sampai Darjah Khas (Johor). Kalau terus belajar dulu beliau oleh jadi ustazah, mengajar sekolah ugama.

Beliau mengaku secara diam-diam beliau adalah seorang ‘wali’. Beliau sering bangun malam, sholat hajat (orang biasa lakukan tahajud), zikir panjang-panjang. Sholat hajat dan zikir beliau ialah antara cara beliau dekatkan diri dengan allah atau mohon pada Allah jika orang-orang datang memerlukan bantuan. Zikirnya yang paling ampuh ialah “Ya Latiff, Ya Latiff……” .sekian ribu setiap siri bacaan. Komen saya: Orang yang belajar ilmu ushul fiqh mengatakan zikir tersebut tidak wujud (diada-adakan) sepertimana zikir “Ya Allah, Ya Allah……” Zikir yang boleh digunakan ialah zikir-zikir yang dilakukan Nabi SAW seperti terdapat dalam banyaka hadits-hadits soheh.

‘Saudara-saudara’ beliau mengamalkan kaedah yang serupa. Masing-masing memiliki kekuatan tersendiri. Tetapi Kak Mun memiliki kekuatan yang unik. Kebanyakan saudara-saudaranya datang ‘menyembah’ atau ‘sujud’ dan menggelarnya ‘Mak Engku’ (memang benar beliau keturunan raja tertentu) tetapi datuknya disingkirkan dari istana.

Komen saya: saudara-saudara beliau semua boleh dikatakan buta ugama. Melakukan zikir dan ibadah berdasarkan ilham dan mimpi. Kebanyakannya percaya kepada ‘suluk’ (mengasingkan diri) termasuk melakukan pertapaan. Dengarnya terdapat seorang ‘wali’ muda yang telah timbulkan ‘naga tasik cini’ bertubuh emas dan bermatakan batu delima. Wali muda ini pernah bertapa.

Beliau dapat sampai taraf ‘wali’ ini kerana suatu peristiwa. Suatu masa dulu masa anak-anak masih kecil beliau sering sakit. Sakit kepala, kejang perut, bisa seluruh badan. Jumpa orang alim sana sini tetapi tiada keputusan. Kebanyakan orang alim kata beliau didamping oleh jin jahat. Tetapi tidak seorang pun yang mampu mengusirnya.

Akhirnya beliau sekeluarga mengambil keputusan tinggal jauh dari orang, di sebuah rumah di tengah sawh lama. Beliau sholat dan berzikir (tidak diketahui jenis sholat dan zikir) hingglah suatu hari ‘moyang’nya menjelma setelah ialah sedang terlayang setelah berzikir di tikar sembahyang.

Itulah punca ia mengetahui beliau miliki ‘derajat’(komen saya: cara syaitan menipudaya dengan pangkat dan kekuasaan). Beliau diberi ilham melakukan zikir begitu begini sekian banyak, sekian hari. Kesihatan beliau makin pulih dan jarang ditimpa sakit yang pernah dialami.

Komen saya:penyakit-penyakit yang dialami kemungkinan stres yang berlalu secara melampau. Apabila seseorang yang mengalami stress dan penyakit berpanjangan mengalihkan fokus dari Allah (beliau yakin ‘ibadah’beliau mendekatkan diri kepada Allah tetapi adalah sebaliknya) diri beliau didampingi syaitan. Syaitan-syaitan itu dengan pelbagai cara menipu daya beliau dengan izin Allah dan beliau tersasar jauh dari jalan lurus. Beliau menyembah kuburan contohnya dengan mengadakan sholat hajat di kubur-kubur (makam) ‘wali’ tertentu dan pernah sembelih kambing di salah satu makam (komen saya: sholat di kuburan adalah salah satu syirik akbar, syirik besar).

Beliau pernah didatangi dua ekor ular mura. Datang menziarahinya di seberang parit sebelah rumah. Pasangan ini sering pindah rumah dan setiap kali tinggal di rumah-rumah tersebut beliau mengalami pengalaman pelik. Di sesetengah tempat beliau menuduh jiran ‘buat’ beliau.

Sampailah apabila mereka tinggal di rumah sekarang ini. Beliau tidak tuduh tetapi bukti datang sendiri.

Tak pernah tercium setanggi atau kemenyan dari rumah beliau tetapi jiran-jiran yang menyalakan setanggi atau mengasap kemenyan.

Suatu hari ketika beliau sedang mengemas ruang hadapan rumah (pagar rumah beliau di kepung oleh bata tinggi dan tidak nampak orang sebelah) tiba-tiba beliau dengar ‘puhhh….puhhh…’ dan bau asap kemenyan. Asap itu seolah-olah sengaja ditiup ke kepala beliau dari sebelah.

Berita paling baru.

Beberapa minggu lepas ketika Kak Mun sedang jemur kain tiba-tiba seorang datang dari belakang dan menghembuskan kemenyan yang sedang dibakar dalam bekasnya. Kak Mun terpinga-pinga dan menoleh ke belakang. Rupa-rupanya seorang dari jirannya yang melakukan perkara tersebut. Sukar dipercayai tetapi berlaku.

Hariraya baru-baru ini Pak Lat suami Kak Mun memberi salam ke pemandu sebuah kereta proton. Kak Mun kata itu ialah Tok Pawang yang mengubat salah seorang jiran.

Beberapa minggu sebelum itu Pak Lat yang sedang mencuci keretanya dihampiri oleh lelaki tersebut dan mengatakan jiran Pak Lat sakit teruk. Kurus dan berkudis. Dia memberi amaran ke Pak Lat seolah-olah Pak Lat yang yang tukang buat.

Banyak lagi peristiwa yang sesetengahnya menggelikan hati. Antaranya jiran sebelah Kak Mun suka meniru apa yang mereka buat di dapur. Orang menumbuk dia menumbuk. orang masak dia masak tetapi periuk mereka hangit. Betul tak betul saya tak tau. Pada saya kak Mun menggunakan persangkaan je.

Tak perlu saya kongsi semua.

Komen saya: jiran-jiran mungkin mengalami perkara-perkara ganjil yang apabila mereka merujuk ke Tok-tok Pawang, mereka katakan berpunca dari rumah Kak Mun. Kak Mun sendiri hairan mengapa dia dituduh buat jiran-jirannya sedangkan dia ‘tidak bela jin’.

Adik Kak Mun pernah datang beberapa kali dengan beberapa orang rakan yang sesetengahnya orang alim. Sesetengah mengatakan rumah Kak Mun ‘berat’. Yang dimaksudkan ialah lebihkurang keras.

Terdapat kemungkinan jiran-jiran Kak Mun ternampak atau terdengar sesuatu yang ganjil dari rumah Kak Mun atau pada diri Kak Mun tetapi Kak Mun tidak menyedarinya.

Mari kita semak ayat-ayat Allah.

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang teman yang selalu menyertainya.” [mquran: az-Zukhruf: 36]

Menurut hadits sahih, seekor qarin dilahirkan dengan kelahiran setiap orang manusia. Keterangan: Qarin ialah syaitan yang mendampingi sepanjang hayat dan sering membisikkan rayuan supaya bermaksiat kepada Allah (langgar perintah). Kepada yang teguhnya imannya ia dapat mengalahkan syiatan dan nafsunya.

Ayat berikutnya iaitu ayat ke 37 (mafhum): “Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.”

“Syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan mereka.” [mQuran: Muhammad: 25].

“Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun? Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi banyak dosa. [mquran: asy-Syu’araa’: 221-222]

Allah dan Rasul sebut lain dia buat lain. Orang sedemikian ialah pendusta. Ditambah lagi kerana banyak dosa. Dosa kerana kebodohan, kesombongan, tidak mahu belajar dari guru yang mengajar sumber ugama sebenar. Dalam ayat lain Allah sebut Dia palingkan hati mereka yang berpaling (dari kebenaran).

“(Syaitan) itu menjadikan mereka memandang baik perkara yang buruk.” [mQuran: Taubah: 37]

“Dan tiadalah kebanyakan yang mereka ikuti selain persangkaan (zhan) semata-mata; sesunggunya persangkaan itu tidaklah boleh membantu kebenaran sedikit pun.” [mquran: Yunus: 36]

Bahan bacaan Lanjutan:

1. Perbezaan antara Wali-wali Allah dan Wali-wali Syaitan – IbnuTaimiyah
2. Pembeda antara Haq dan Batil (Al-Furqan bainal Haq Wal Bathil) – Ibnu Taimiyah
3. Mengungkap Kebenaran dan Kebatilan (Shiro’un baina al Haqqi wa al Bathil) – Sa’ad Shodiq Muhammad.

Itqan Abdullah
ITQAN
http://www.rabbaniyah.blogspot.com/