Friday, March 6, 2009

Saya bukan Seorang Islam

Beliau berusia 60an, berbadan tegap sasa. Dan yang menarik beliau bernikah dengan seorang isteri baru, 2 tahun dulu, dengan seorang warga Indonesia yang kini berusia 28 tahun.

Duduk di hadapan beliau, tidak kering gusi saya dibuatnya kerana beliau pandai berjenaka. Selain itu beliau cukup pandai dan aktif mengusik. Mengusik anak-anak dara dan isteri orang.

Usik bukan setakat tegur sapa tapi dengan menggunakan tangan. Beliau memegang tangan-tangan wanita yang hampir dengannya sambil berkata,”Nasib baiklah aku baru kawin, kalau tidak aku hantar pinangan.” Matanya melirik atas bawah.

Kami duduk-duduk di tepi sebuah taman yang terdapat beberapa warung tempat orang singgah minum teh. Saya baru pertama kali bertemu dengan pakcik ini melalui seorang kawan. Cukuplah cerita sedikit sebanyak mengenai latar-belakang peribadinya. Saya akan tumpukan coretan ini seterusnya dengan celoteh beliau mengenai beberapa isu ugama.

Sebelum bertemu dengan beliau, abang saya telah memberitahu sedikit sebanyak mengenai fahaman ugama beliau dalam bidang fiqah. Menurut abang saya beliau mengamalkan ilmu hakikat. Saya bertanya samada kawan-kawannya mengikut aliran sufi (tasawuf) atau mengamalkan tarekat tertentu. Abang saya tidak tahu.

Pada suatu bahagian pertemuan kami, abang Haji yang duduk di hadapan saya membuka bunga diskusinya mengenai bab ugama. “Dalam banyak-banyak perkara, kita jangan terjebak dalam syirik, kafir, munafik, dan fasik. Semua terkeluar dari ugama.”

Ye, abang Haji? Satahu saya yang keluar dari ugama ialah syirik besar, kufur (yang bukan kufur nikmat), munafik hati. Fasik tidak mengeluarkan seseorang dari Islam, saya berkata dalam hati. Saya tidak mencelah kerana haji ini ialah jenis yang nampaknya suka domineer orang lain.

“Dosa paling besar dan Tuhan tidak ampunkan ialah syirik.”

Saya hanya memandang wajahnya dan sesekali mengerlih ke orang-orang yang lalu lalang. Cuaca agak redup tetapi terasa bahang. Saya meneguk air limau ais perlahan-lahan.

“Umur engkau berapa sekarang? 45? 46?”

“Lebih kurang macam tu lah, ji”

“Aku tanya engkau sekarang. Ugama engkau apa?”

MasyaAllaah. “Saya berugama Islam, ji”

“Mana engkau tahu engkau berugama Islam. Macam mana engkau tahu?”

Otak saya berjalan dengan sangat pantas mencari jawapan yang sesuai. “Saya mengucap dua kalimah syahadah......”

“Engkau belum Islam!”

Ilmu apa pulak ni. Mengucap dua kalimah syahadah dan membenarkan dengan hati sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu seorang Islam.

“Pernah tak seumur hidup engkau mengucap dua kalimah syahadat macam orang kafir masuk Islam?”

Saya senyum.

“Pada suatu ketika, seorang Imam yang sering nikahkan orang, memeluk aku setelah dia faham apa yang aku maksudkan. Kebanyakan orang Islam yang lahir diwariskan Islam tidak mengucap dua kalimah syahadat.”

Alhamdulillaah, ji. Engkau telah ‘menyedarkan’ ramai orang.

“Bang, dalam sholat, seseorang baca syahadatain ‘AsyhaduallaailaahaillAllaah. WaasyhaduannaMuhammadarrasulullaah.’’ Saya teringat terdapat beberapa ungkapan yang berbeza-beza syahadatain yang dibaca dalam tasyahud awal dan akhir. Saya sendiri biasa baca ‘…………..WaasyhaduannaMuhammadan ‘abduhuuwarasuuluh.’ Ia bergantung kepada hadits mana yang seseorang ikut. Cuma, pastikan hadits-hadits yang diikut itu soheh.

“Itu tidak sah!” Dia menyalakan rokoknya yang entah ke berapa batang. “Baca gitu tak sah dan sholat tidak sah.”

Kalau sholat tidak sah, syahadatain itu masih sah, ji. Saya pergi sekolah ugama ketika usia 7 tahun lagi. Dan di sana saya diajar rukun Islam. “Saya teringat ustaz kata, Nabi kata bahawa Islam itu ialah mengucap dua kalimah sayahadat dan diikuti oleh rukun-rukun lain…….”

“Tapi engkau tidak pernah mengucap macam orang kafir masuk Islam, kan?”

Astaghfirullaah. Saya pernah bersekolah ugama sejak kecil. Kami diajar rukun Islam dan diajar mengucap sebiji sebiji. Dari tulisan jawinya, makna-maknanya dan tujuan mengucapkannya. Dan sudah tentu kami membaca dan memhaminya makna-maknanya.

“Sebelum menikah, kedua-dua pengantin disuruh mengucap. Wali pun disuruh mengucap. Mana tau kalau ada wali yang fasik contohnya tidak sholat.”

“Itu tidak cukup.”

Dah tu apa yang cukup ji? Kalau benar apa yang aji katakan, kalau gitu semua pernikahan orang Islam batal kerana ada lagi yang tidak cukup. Yelah. Mengucap dua kalimah syahadah masih lagi bukan Islam. Kalau gitu ramailah pasangan pengantin Islam yang berzina dan mereka tidak tahu mereka melahirkan anak-anak zina. Dan dari dulu sampai bila-bila nanti, orang Islam sedunia ini ialah hasil anak-anak zina. Sebabnya mereka mengucap syahadatain sebelum bernikah tetapi aji kata tidak cukup!

“Inilah yang jadi masalah. Ramai yang ikut Nabi sebab tidak mahu pecah belah. Tapi yang ramai itulah tidak tahu hakikat. Mereka sibuk ikut syariat halal dan haram tetapi tidak tahu ilmu hakikat.”

Astaghfirullaah. Orang tua ini menyembah tok guru. Atau dia menyembah akal. Dia tidak sedar dan sukar untuk sedar bahawa dia mengatakan sesuatu bahawa terdapat syariat lain yang lebih baik dan betul dari yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Bukan sekali dua saya bejumpa dengan orang macam ni.

Sebenarnya dia yang perlukan bimbingan. Bimbingan yang paling utama ialah al-Quran yang meliputi semua qalam Allah yang turun dalam bentuk wahyu. Yang kedua ialah as-Sunnah Nabi SAW.

Suatu ketika dahulu saya pernah berjumpa dengan seorang ahli hakikat juga. Beliau memang tidak tinggal sholat. Tetapi dalam banyak-banyak perkara beliau tidak percaya Nabi SAW mikraj ke langit. Saya katakan perkara-perkara ghaib termasuk mengenai isra’ mikraj diberitakan melalui mulut Nabi SAW sendiri seperti dinyatakan pelbagai hadits soheh.

Dia tetap tidak percaya. Saya katakana padanya kalau gitu abang boleh meragui pelagai perkara ghaib lain termasuk Hari Kebangkitan, nikmat syurga dan siksa neraka kerana ia disebutkan dalam hadits-hadits soheh dengan cerita dan sifat yang berbeza dengan yang disebutkan dalam Quran. Dia terdiam. Saya tidak tahu samada beliau bersetuju atau tidak.

Ini adalah contoh apabila manusia memuja tok-tok guru atau menyembah akal mereka dalam menetapkan hokum dalam ugama. Yang kesiannya, apabila mereka ingin mendekatkan diri dengan Allah, mereka membaca buku-buku aliran sufi yang mana kebanyakan isinya mengenai aqidah adalah mengarut, yang tidak pernah diajarkan oleh Allah atau Nabi SAW kepada sahabat-sahabatnya.

Terdapat banyak hadits dalam buku sufi ialah hadits palsu. Antara puncanya ialah kebanyakan guru-guru sufi sejak zaman dahulu tidak mendalami ilmu hadits dan mereka mengambil bulat-bulat setiap patah perkataan termasuk isi-isi yang dikatakan sebagai hadits. Apabila ulama menegur bahawa hadits begian begian adalah hadits palsu mereka akan mempertahankannya dan berkata bahawa terdapat pelbagai hadits, berpuluh-puluh ribu. Awak hafal semua hadits termasuk yang disampaikan oleh ulama-ulama kami?

Akhir sekali saya teringat bahawa ramai orang Malaysia menganggap kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Ghazali sebagai sangat bernilai. Menganggap bernila tidak jadi masalah. Seseorang pernah memberitahu rakannya bahawa bukan semua hadits yang ditulis oleh Imam Ghazali boleh digunakan kerana terdapat yang dhoif dan palsu. Beliau selanjutnya memberitu kalau pernah baca atau simpan naskahdi rumah lebih elok beli naskah dengan hadits-hadits yang ditahqiq Imam Al-Iraqi.

Oleh sebab semua orang guna kitab yang serupa, beliau pun berang dan berkata kepada rakan yang menyampaikan mengenai perkara hadits soheh palsu tersebut, “Hadits Imam Ghazali Imam Ghazali lah. Hadits orang lain orang lainlah.”

Beliau tidak faham apa yang dimaksudkan hadits sebenarnya. Ramai orang sampai hari ini terkejut apabila diberitahu bahawa hadits-hadits dikategorikan dalam beberapa tingkatan.

Untuk diri saya, kalau saya berguru saya dengar dan tengok karakternya dari soal wara’ dan lain-lain. Selain itu saya pastikan beliau mengutamakan ilmu-ilmu Quran dan hadits melebihi dari ilmu-ilmu lain kerana dua ilmu tersebut ialah ilmu utama dalam mempelajari ushul fiqah dan seterusnya fiqah. Saya pastikan mereka tidak mengterataskan akal melebihi dari dua jenis ilmu tersebut.

Saya hanya seorang pelajar yang gemar belajar pelbagai bidang termasuk ilmu ugama walau pun tidak mendalam sebagaimana mereka yang belajar secara formal.


Itqan Abdullah

ITQAN

www.rabbaniyah.blogspot.com