Monday, August 11, 2008

Tergelincir dalam Bertanya dan Memberi Penjelasan

Kewajipan seorang mustafti (penanya)


Seorang alim (berilmu) selalu menggunakan sindiran yang hebat jika ada orang bertanya kepadanya.

Beliau pernah ditanya,”Bagaimanakah rupa isteri iblis?” Imam menjawab, “Saya tidak pernahhadir ke majlis perkahwinannya…..!”

Ada lagi orang bertanya, “Wahai tuan, bagaimanakah cara membasuh janggut saya yang tebal pada waktu berwuduk?”

Alim tersebut menjawab, “Rendamlah dalam air semalam suntuk….!”

Dr.Yousuf al-Qardhawi mengatakan bahawa sangat sayang kerana memang terdapat beberapa ulama tafsir cuba membincangkan perkara-perkara yang tidak disebut dalam ayat-ayat Allah atau hadits dalam tulisan-tulisan mereka dengan cara menampilkan seberapa banyak mungkin perbezaan pendapat yang terjadi dalam satu-satu masalah.

Terdapat soalan-soalan yang tidak penting dan tidak membawa manafaat kepada situkang bertanya dan yang menjawab. Contoh-contoh soalan itu ialah:

  • Apa warna anjing ashabul Kahfi?

  • Adakah anjing itu jantan atau betina?

  • Bilakah hal tersebut berlaku dan di mana?

Sedangkan Allah tidak pernah menjelaskan kepada kita keterangan-keterangan atas soalan-soalan tersebut. Jika keterangan-keterangan itu bermanafaat nescaya Allah Ta’ala menjelaskannya kepada kita. Bahkan Al-Quran menjelaskan kepada kita mengenai perbezaan pendapat yang terjadi antara ahli Kitab mengenai perkara tersebut.

Antara mereka ada yang mengatakan bahawa Ashabul Kahfi itu ada tiga orang, empat orang, lima orang, atau tujuh orang.

Kemudian Allah memerintahkan nabi Muhammad SAW yang bermaksud,”Katakanlah (olehmu wahai Muhammad), Tuhanku lebih mengetahui dengan bilangan mereka (yang sebenar), tidak ada orang yang mengetahui bilangan mereka kecuali sedikit. Kerana itu janganlah kamu (hai Muhammad) bertengkar tentang hal mereka, kecuali pertengkaran zahir sahaja dan jangan kamu menanyakan tentang mereka (Ashabul Kahfi) kepada seorang pun antara mereka (Ahli Kitab).” [Surah al-Kahfi: 22].

Allah tidak memberitahu bilangan ashabul Kahfi sedangkan Dia tahu. Allah melarang Nabi SAW bertikam lidah dan mendalami tentang perkara itu dengan bertanya kepada Ahli Kitab, sebagai satu pengajaran bagi ummah supaya tidak menyibukkan diri dan dan fikiran dalam pertengkaran-pertengkaran yang tidak menjanjikan pulangan yang baik untuk ugama, kehidupan dunia dan akhirat.

Contoh-contoh soalan lain yang tidak bermutu dan tidak mendatangakan manaafat yang sering diajukan oleh orang-orang yang berlagakpandai, “Bahasa apakah yang akan digunakan bercakap dengan malaikat di dalam kubur? Bahasa Siryani, Inggeris, Arab….?”

Ummat Islam ketika perkembangan dan kemajuannya bertanya perkara-perkara yang bermanafaat untuk ugama, kehidupan dunia dan akhirat mereka. Antara pertanyaan sahabat-sahabat Nabi SAW seperti yang dirakamkan Al-Quran:

Mereka bertanya kepadamu tentang (hukum) arak dan judi” [Surah al-Baqarah: 219]

Mereka bertanya kepadamu: Apakah yang patut mereka belanjakan….?” [Surah al-Baqarah:19]

Mereka bertanya kepadamu tentang anak-anak yatim”.[Surah Al-Baqarah: 220]

Mereka bertanya kepadamu tentang (ehwal) wanita haid.” [Surah al-Baqarah: 222]

Mereka bertanya kepadamu apakah (makanan) yang halal bagi mereka.” [Surah al-Maidah: 4]

Apabila ada antara mereka mengada-ngadakan pertanyaan yang pelik atau berunsur angan-angan, maka Nabi SAW atau ulama (selepas kewafatan Nabi) akan mengembalikan mereka dan memberi kesedaran untuk bertanya soalan-soalan bermanafaat sahaja.

Islam menghendaki ummatnya berkerja dan beramal secara produktif sahaja, mencegah mereka dari senda gurau (tambahansaya: macam) tidak ada kerja. Islam memerintahkan mereka menggunakan masa dan kesempatan untuk bersikap inovatif, produktif, dan aktif samada dari segi pemikiran, perbuatan, perkataan. Tambahan saya: bergurau boleh, Nabi saw pun bergurau dan ketawa sampai nampak gigi geraham (ikut kes dan suasana). Dr.Yousuf adalah seorang yang tegas walau pun pendekatannya sederhana.

Apabila Islam mengalami kemunduran dari segi krisis kebudayaan dan pemikiran, mulalah penganut-penganut bertanyakan soalan-soalan yang tidak bermanafaat untuk kebaikan ugama dan kehidupan; tidak mendorong individu untuk bergerak maju; tidak memberikan semangat kepada ummah kembali bangkit capai kejayaan (dunia, akhirat).

Orang-orang awam mula sibuk dengan masalah-masalah dan pekerjaan-pekerjaan yang tidak terlintas pada fikiran ulama terdahulu.

Ulama-ulama yang datang kemudian (al-muta’akhirin) yang membawa sikap taqlid (mengikuti sesuatu secara membuta tuli, sila semak maksud lawannya iaitu ittiba’: mengikui sesuatu dengan penjelasan bersandarkan dalil) turut memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan keadaan dan mendorong arus pemikiran seperti itu.

Mereka mengetepikan inti permasalahan, disibuki dengan perkara luaran dan kulit yang tidak penting, di samping menyeret manusia untuk ikut sibuk dengan permasalahan itu. Sampaikan belajar ambil wudhu’ pun perlu kepada sebulan penuh.

Contoh-contoh soalan-soalan lain yang pelik (yang saya kutip dari tulisan Dr. Aidh Abdullah al-Qarni) seolah-olah orang yang ditanya ialah seorang yang bertanggungjawab menguruskan masalah penempatan jin di akhirat: “Di mana jin akan tinggal jika mereka masuk syurga? Adakah ia akan bergabung dengan manusia atau ada tempat tinggal tersendiri?”

Kepada yang bertanya soalan-soalan ini kita jawab.” Adakah Abu Bakar, Umar,’Utsman, Ali, Ubai,atau Mu’az mempersoalkannya? Bukankah mereka hanya mendiamkannya dan tidak pernah membangkitkannya? Kalau begitu mengapa anda tidak mencontohi mereka?”

Dr. Qarni berkata memang banyak bertanya soalan adalah ciri (tambahan saya: tidak semertinya, bergantung juga. Ada pelajar pinta tetapi pasif) pelajar pintar. Tetapi soalan-soalan yang diajukan oleh seorang yang pintar seperti yang dikatakan oleh seorang ahli hikmah, “salah satu yang menunjukkan kecerdasan seseorang ialah bagusnya soalan yang dikemukakannya.”

Pada saya (penulis artikel) yang tidak cerdas atau sederhana pun boleh bertanyakan soalan. Tidak bertanya sesat jalan. Bukankah ada sebuah hadits menunjukkan seorang meninggal kerana ketidaktahuan sahabat-sahabatnya menyuruh dia mandi junub sedangkan sebenarnya penyakit yang dihidapi sepatutnya dia tidak boleh mandi. Dan apabila dikabarkan kepada Rasulullah, baginda mengatakan mereka telah membunuh sahabatnya. Dan baginda berkata mengapa mereka tidak bertanya jika memang mereka tidak mengetahaui, sesungguhnya ubat penawar ketidaktahuan hanyalah bertanya.

Berikut saya taipkan beberapa soalan yang dikemukakan kepada Dr Yousuf Qardhawi dan bagaimana beliau menjawap setiap soalan.

Pernah seorang bertanya ketika beliau sedang mengajar di dalam sebuah masjid, katanya, dengan gaya menunjuk-nunjuk, “Wahai Syeikh, siapakah nama saudara perempuan Nabi Musa a.s.?

Jawab Dr. Qardhawi, “Apa halnya antara dirimu dan dia, adakah saudara hendak meminangnya? Andaikata namanya Maryam, Zulaikha atau Maria, adakah ia memberi manafaat kepada saudara? Sedangkan al-Quran tidak pernah menjelaskan nama saudara perempuan nabi Musa, dan Rasulullah SAW tidak pernah mengkhabarkan tentang namanya, mengapa kita mesti memaksa diri dan memenatkan fikiran untuk membahas dan mencari sesuatu yang tidak diperintah dan tidak memberikan apa-apa manafaat?”


Hak Ilmu atas orang yang memilikinya

Berikut ialah petikan dari tulisan Dr-Qardhawi juga. Bukunya berjudul (terjemahan) Menghidupkan Nuansa Rabbaniyah dan Ilmiah. Petikannya adalah dalam bab Hak-hak Ilmu atas Pemiliknya, sub-bab Berhenti Sekadar Kadar Ilmu yang Dimiliki.

“Di antara hak ilmu atas orang yang memilikinya ialah hendaknya berhenti pada batasan ilmunya, tidak melampaui batas wewenangnya atau kesanggupannya…….”

“Pada zaman sekarang kita sedang dilanda bencana dengan adanya sebahagian orang yang terlalu berani menyebarkan demam syariat, menghalalkan ini dan mengharamkan itu, mewajibkan dan menggugurkan, berbuat bid’ah dan berbuat fasik, dan bahkan berani mengkafirkan, hanya kerana mereka sudah membaca beberapa buku sebahagian ulama dalam beberapa disiplin ilmu, padahal mereka tidak hidup dalam iklim ilmu, tidak mahu belajar dari para syaikh, tidak cenderung memperhatikan sarana-sarananya dan tidak memegang kunci-kuncinya.

Sekali pun begitu mereka berani mengeluarkan fatwa mengenai masalah yang sangat rentan, beranai menetapkan hukum mengenai masalah yang amat rumit.

Mereka memejamkan sebelah mata kepada ulama-ulama terkenal, menyerang imam-imam mazhab, dan bahkan mereka berani menyetarakan kepala mereka dengan kepala sahabat dan tabi’in. Antara mereka ada yang berkata, “Mereka lelaki dan kita pun lelaki.”

Sikap seperti itulah yang membuka jalan kepada musnahnya ugama dan rusaknya dunia, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits shahih,

Sesungguhnya Allah tidak mematikan ilmu dengan mencabutnya sekali cabutan dari dara manusia, tetapi Dia mematikan ilmu dengan mencabut nyawa orang-orang yang berilmu. Sehingga jika tidak lagi menyisa seorang pun yang berilmu, maka manusia mengangkat orang-orang bodoh sebagai pemimpin, lalu orang-orang bodoh ini ditanya dan mereka pun memberi fatwa tanpa pengetahuan. Maka mereka tersesat dan mereka menyesatkan.” [Muttafaq Alaihi]”

Berfatwa tanpa Ilmu


Lanjutan dari hadits di atas, seterusnya Dr.Qradhawi menulis:

“Yang lebih fatal lagi jika seseorang berfatwa dengan sesuatu yang tidak diketahuinya lalu dia meyakininya sebagai sebahagian dari ugama Allah. Sehingga dia berani mengharamkan atau menghalalkan tanpa bukti kerterangan yang jelas dari Rabb-nya.

Orang yang berfatwa mendapat dosa jika orang yang meminta fatwa tertipu. Terlebih lagi jika orang yang bertanya ini mencari dan mendapatkan fatwa dari orang lain yang (sepatutnya) layak memberikan fatwa dalam urusan ugama selain mengetahui syariat Allah.

Berhubung perkara ini Dr. Qardhawi membawakan sebuah hadits. Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa diberi fatwa tanpa pengetahuan, maka dosanya kembali kepada orang yang berfatwa. Barangsiapa mengisyaratkan sesuatu urusan kepada saudaranya, padahal dia tahu bahawa yang benar ada pada yang lain, maka dia telah mengkhianatinya.” [HR Abu Daud dan al-Hakim. Al-Hakim menghasankannya.lihat Shahihatul-Jami’ Ash-Shagier, nomor 6068].”

Sampai di sini sahaja petikan-petikan dari dua orang ulama yang tersohor.

Untuk mengakhiri artikel ini saya bawakan teladan dari sahabat-sahabat Nabi SAW. Sahabat-sahabat sendiri pernah takut apabila diajukan soalan berhubung soal hukum-hakam. Imam-imam mazhab contohnya Imam Malik biasa menjawab “tidak tahu”. Sesetengah soalan beliau diamkan tanpa jawapan. Sila baca biografi empat imam mazhab contohnya yang ditulis oleh KH Moenawar Khalil.

Kita lihat amaran Allah kepada kita supaya tidak mudah-mudah memberi fatwa atau menghukumkan sesuatu sebelum tahu selok-beloknya.

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.” [mafhum Quran surah an-Nahl:116]

Bagaimana pula dengan pengikut yang secara membuta-tuli dan terus-menerus hanya menurut semua jenis fatwa berkaitan halal jadi haram dan haram jadi halal yang diberikan? Adakah ia tergolong dalam maksud interpretasi Nabi SAW terhadap surah at-Taubah: 31?


GLOSARI

Fatwa - Pengertian bahasa: memberikan jawapan bagi sesuatu masalah

Pengertian syarak: memberikan penjelasan hukum syarak sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara bersendirian atau berjemaah.

Bacaan lanjut:

1. Dr.Yousuf al-Qardhawi, 1996, Fatwa antara Ketelitian dan Kecerobohan (Al-Fatwa Bayna al-Indibat al-tasayyub), Bt Caves, Thinker’s Library.

2. Dr. A’idh Abdullah al-Qarni, 2006. Bacalah dengan Nama Tuhanmu, Kuala Lumpur, Jasmin Enterprise

3. Dr.Yousuf al-Qardhawi. 1996. Menghidupkan Nuansa Rabbaniyah dan Ilmiah (Al-Hayat Ar-Rabbaniyah Al-Ilm), Jakarta Timur, Pustaka al-Kautsar.

Itqan Abdullah

www.rabbaniyah.blogspot.com