Thursday, November 20, 2008

Melihat Faraj (kemaluan/qubul) Isteri

Disemak pada Dis 10, 2011.

Apabila seorang wanita dan lelaki bernikah, maka segala perkara yang haram semua jadi halal termasuk menikmati seluruh bahagian tubuh isteri dengan mata, tangan, kemaluan (bersetubuh dengan pelbagai posisi) kecuali mendatangi isteri ketika isteri sedang haid atau mendatangi pada duburnya.

Hadits-hadits yang berkaitan perkara di atas adalah dari jalan sahabat-sahabat termasuk Jabir, Ibnu Abbas, Ummu Salamah, Khuzaimah bin Tsabit dan Uqbah bin Amir (moga Allah merahmati mereka semua).

Saya percaya kebanyakan kita biasa dengar bahawa hubungan kelamin bukan sahaja wajib dilakukan di tempat tertutup contohnya bilik. Namun masih terdapat pasangan melakukan hubungan kelamin dengan menutup sebahagian badan termasuk kemaluan. Ia berpunca dari cakap-cakap ustaz, 'Isteri tidak melihat kemaluan suami. Suami tidak melihat kemaluan isteri.'

Anda tanyalah kebanyakan ustaz, Tok Imam, buku apatah lagi kawan-kawan. Kebnayakan mereka menyampaikan pesanan yang sama iaitu ugama melarang suami isteri bersanggama atau bersetubuh dengan bertelanjang bulat. Alasannya isteri Rasulullah SAW tidak melihat kemaluan Rasulullah dan sebaliknya.

Tok Imam, ustaz, buku semua berdasarkan samada ilmu yang mereka dapat dari Tok-tok Imam mereka, ustaz mereka atau buku. Ilmu-ilmu Tok Imam, ustaz, buku ini adalah ilmu turun-temurun. Tok Imam, ustaz dan penulis buku mungkinsekadar meneruskan ilmu yang mereka belajar dan tidak membaca karya-karya selain dari hasil lingkungan sendiri.

Jadi, kalau kitab dulu, ulama-ulama dulu menyampaikan sesuatu ilmu dalam sesuatu isu, setakat itulah yang dihafalnya. Kalau ulama dulu dan kitab dulu kata dalilnya begitu begini mereka pun mengamalkan dan menyampaikan ilmu serupa.

Di sini saya akan tulis serba sedikit ‘hadits-hadits’ yang menjadi pegangan kebanyakan orang.

Mengenai berjimak perlu menutup tubuh dan isteri dilarang melihat kemaluan suami dan suami dilarang melihat kemaluan isteri berikut ialah sebuah ‘hadits’ yang dijadikan pegangan oleh Tok Imam, ustaz, dan penulis-penulis buku tertentu:

Abu asy-Syeikh meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a., bahawa ‘Aisyah berkata: “Rasulullah SAW tidak mengadakan hubungan kelamin dengan seseorang dari isterinya melainkan dengan berselubung, beliau melabuhkan kain atas kepalanya, dan aku tidaklah melihat kemaluan Rasulullah SAW dan beliau pun tidak melihat kemaluanku.”

Penyakit hadits di atas ialah Muhammad bin Al-Qassim al-Asadi yang terdapat dalam sanadnya (rantaian perawi). Ia didustakan oleh Imam Ahmad dan beliau berkata: Hadits-haditsnya maudhu’ (palsu), ia bukan apa-apa (tidak bernilai).

Ibnu ‘Adiy meriwayatkan dari Ibnu Abbasr.a.,bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang kamu menyetubuhi isterinya atau jariahnya makan janganlah ia melihat kepada kemaluannya kerana yang demikian itu mempusakai buta.” Kata Nasharuddin al-Albani: Hadith ini adalah maudhu’(palsu).

Al-Azdi meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang bersetubuh, maka janganlah ia melihat kepada faraj kerana ia akan mempusakai buta dan janganlah ia banyak bercakap kerana ia akan mempusakai bisu.” Kata Nasharuddin al-Albani: Hadith ini adalah maudhu’(palsu). Hadits tersebut disebutkan juga Ibnul Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at .

Ad-Dailami meriwayatkan dari ‘Athiyah bin Bisr al-Mazini, dari Abdullah bin Azinah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Wahai manusia! Bahawasanya Allah telah menyuruhku supaya mengajar kepada kamu apa yang diajarkannya kepadaku dan supaya mendidik kamu. Janganlah seseorang kamu banyak bercakap di kala bersetubuh kerana ia akan menyebabkan anak menjadi bisu. Janganlah seseorang kamu melihat kepada kemaluan isteri di kala ia menyetubuhinya kerana ia akan menyebabkan buta. Dan janganlah kamu menciumnya kerana ia akan menyebabkan hilang pendengaran, iaitu pendengaran anak………….(sambungannya tiada kena mengena dengan jimak). Hadits ini maudhu’ (palsu). Abdullah bin Azinah yang terdapat pada sanadnya meriwayatkan hadits-hadits maudhu’ seperti dikatakan oleh al-Hakim dan an-Naqqasy.

Oleh sebab semua hadits berkaitan mendedahkan seluruh tubuh dan melihat kemaluan adalah maudhu atau dhoif (jiddan), maka melihat kemaluan pasangan adalah mubah (boleh). Adakah ia boleh dilihat di luar waktu sanggama atau persetubuhan? Jawapannya ialah boleh. Menurut kaidah ushul fiqh, hal-hal dunia (termasuk melihat isteri/suami tanpa seurat benang termasuk melihat kemaluannya) adalah mubah jika tiada larangan samada dari Allah dan Rasulullah SAW.

Bagaimana dengan orang yang tetap malu, iaitu tidak mahu melihat, menutup tubuh dan kemaluan (farji) supaya tidak terlihat? Silalah anda lakukannya sebab itu naluri anda. Namun apabila sudah tahu hukumnya mubah (kerana tiada nas agama yang melarangnya) anda tidak boleh mengatakan ia makruh atau haram.

Islam tidak mengajar umatnya menjalani hidup secara kependetaan (hidup seperti pendeta). Islam telah lengkap dengan hukum-hukum yang memudahkan manusia untuk mempraktikkanya. Ia menghalalkan sesuatu sesuai dengan keperluan naluri, kesejahteraan keluarga, keselamatan dan keharmonian masyarakat. Mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah dan Rasul-Nya adalah dilarang (haram). Menuruti ilmu orang yang mengharamkan sesuatu sedangkan jelas ia halal adalah perbuatan Jahiliyah.

Sila baca Fatwa-fatwa Kontemporari tulisan Dr. Yusuf Qardhawi pada bab Perkara Yang Halal bagi Suami terhadap Isterinya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hukum-hukum keharusan melihat yang terlihat atau tersembunyi samada dengan syahwat atau tidak. Begitu dengan hukum menjamah seluruh anggota tubuh serta melakukan seks oral.

Sebelum saya akhiri artikel ini saya salin sebuah hadits dari buku Dr. Qardhawi yang berbunyi, “Apabila salah seorang di antara kamu mencapuri isterinya, maka hendaklah sedapat mungkin ia menutup kemaluannya, dan janganlah mereka bertelanjang bulat seperti keledai.”

Dr.Qardhawy berkata, hadits di atas ialah dhoif (lemah). Ia diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam an-Nikah (1921). Hadits ini dilemahkan oleh al-Bushairi dalam az-Zawaid, dilemahkan oleh al-Hafidz Ibnu al-Iraqi kerana kelemahan semua sanadnya, dan dilemahkan oleh al-Albani dalam Irwa’ul Ghalil, hadits no. 2009.

Jadi sesiapa pun yang membawa hadits mengenai larangan melihat tubuh dan kemaluan pasangan masing-masing (yang telah sah bernikah), tanya mereka dari mana mereka ambil dan tanya status haditsnya. Status hadits tersebut juga boleh diketahui dengan bertanya kepada yang mahir dalam bidang hadits.

Rujukan lanjut:

1. Drs. Abdul Ghani Azmi in Haji Idris, (1999). Himpunan Hadits Dha’if dan Mau’dhu’, Al-Hidayah, Kuala Lumpur.
2. Dr. Yusuf Qardhawi, (1995). Fatwa-fatwa Kontemporer, Gema Insani Press, Jakarta.
3. Syeikh Muhammad Nasharuddin al-Albani, (2000). Adab Santun Menuju Pelaminan (Judul Asal: Adabuz Zifaf), Pustaka Amanah, Solo.



Itqan Abdullah
ITQAN
www.rabbaniyah.blogspot.com